SEPANG: Empat jenazah wanita warga Indonesia mangsa kemalangan bas kilang di Jalan S8 Pekeliling berhampiran MAS Kargo dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sudah dituntut pihak kedutaan negara itu, hari ini.

Empat jenazah itu membabitkan mangsa dikenal pasti sebagai Fitri Nurjahari, 21, dituntut di Hospital Putrajaya, manakala mayat Loka Harahap, 23, dan Rosvita Azura Afrianti serta Ayu masing-masing berusia 22 tahun dituntut di Hospital Serdang.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata keempat-empat mayat itu dituntut pihak kedutaan yang mewakili waris pagi tadi.

‘Jenazah dijangka dibawa pulang menaiki pesawat ke Indonesia pada esok pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, selain itu, pihak Kedutaan Bangladesh juga akan menuntut lima mayat warganegara itu pada petang ini membabitkan jenazah Mohin, 37, Md Razib Munsi, 26, Al Amin, 25, Md Sohel (25) dan Golam Mostafa, 22, yang kini berada di Hospital Serdang.

Katanya, polis kini sedang meneliti dan menyiasat dakwaan mengatakan bas terbabit berlumba sebelum kejadian berlaku.

“Buat masa ini polis masih belum mengenal pasti punca kejadian termasuk sedang menyiasat dakwaan bas itu dikatakan berlumba sebelum nahas berlaku.

“Polis juga masih menunggu laporan ujian darah pemandu bas berkenaan, S Suresh, 43,” katanya.

Zulkifli berkata, angka kematian masih kekal seramai 12 orang.

Dalam kejadian jam 11.10 malam Ahad lalu, seramai sembilan orang termasuk pemandu bas kilang disahkan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terjunam dalam longkang besar sedalam kira-kira 10 meter.

Angka kematian meningkat kepada 12 orang apabila tiga lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Mangsa yang meninggal membabitkan empat wanita warga Indonesia, lima lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal dan seorang lelaki rakyat tempatan yang juga pemandu bas terbabit – Berita harian