BAYAN LEPAS: Seramai empat lagi Ahli Parlimen daripada PKR dilantik ke jawatan menteri dengan semua mereka dijangka mengangkat sumpah pada 2 Julai ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin, berkata ia menjadikan tujuh wakil rakyat daripada PKR dilantik sebagai menteri.

Katanya, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dilantik sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, manakala Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

“Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Tujuh Ahli Parlimen PKR pula akan dilantik bagi jawatan timbalan menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33/2018 Persatuan Nelayan Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat; Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi) dan Ketua Wanitanya, Zuraidah Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Dr Afif yang juga EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri berkata, Ketua Setiausaha Sekreteriat PH merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah pula akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar.

Katanya, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Industri Utama, manakala Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa sebagai Timbalan Menteri Luar Bandar dan Masyarakat.

“Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, manakala Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia).

“Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama),” katanya – berita harian