ALOR SETAR: Kurang 24 jam selepas meragut seorang warga emas, empat lelaki, dengan tiga daripadanya positif syabu ditahan polis di sekitar bandar raya ini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata suspek pertama berusia 23 tahun ditahan di rumahnya di Tongkang Yard, di sini pada jam 4.30 pagi.

“Pada masa yang sama, tangkapan kedua membabitkan seorang remaja berusia 19 tahun di rumahnya di Mergong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Susulan penahanan dua suspek berkenaan, dua lagi rakan mereka, masing-masing berusia 17 dan 19 tahun ditahan di Tongkang Yard.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif syabu. Sebuah motosikal jenis Honda Dash serta dua topi keledar turut dirampas. Kesemua suspek kini dalam proses untuk direman,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas cedera di lengan dan kaki selepas diseret oleh peragut bermotosikal di kawasan Pasaran Bilion, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa Choo Tar Cheang, 66, yang menaiki basikal seorang seorang diri sebelum didatangi empat suspek menaiki motosikal sebelum salah seorangnya meragut mangsa – Berita harian