KULIM: Perbuatan empat lelaki yang terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini dan Bandar Baharu mengundang padah apabila mereka ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 28 tahun pada jam 10.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Tok Rasul, di sini.

Menurutnya, ketika ditahan suspek sedang mencuci motosikal Kawasaki KR150-K di mana semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang bersabit kes di Serdang sebelum dia dibawa ke Balai Polis Kulim untuk tindakan selanjutnya.

“Susulan penahanan suspek itu, tiga lagi lelaki berusia 22 hingga 28 tahun ditahan di Taman Selasih pada jam 12.30 tengah hari dan merampas Yamaha Y150R yang disimpan di kediaman itu.

“Penahanan mereka susulan laporan diterima berkaitan kehilangan motosikal Yamaha Y150R yang hilang selepas diletakkan di hadapan kedai makan pada 20 Mei lalu dan kehilangan motosikal Kawasaki KR150-K di Kampung Batu 16, Serdang pada jam 7 pagi 1 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, tangkapan pertama itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu kerana kecurian membabitkan di daerah itu manakala tiga lagi suspek disiasat IPD Kulim.

“Siasatan awal juga mendapati mereka mengaku terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal itu.

“Semakan juga mendapati suspek berusia 22 tahun memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan curi, ceroboh dan dadah manakala suspek berusia 23 tahun memiliki empat rekod jenayah membabitkan kecurian dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan reman akan dipohon hari ini bagi membantu siasatan – berita harian