BALING: Kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Baru Kupang-Grik berdekatan Kampung Tiak di sini, hari ini meragut empat nyawa.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia termasuk pemandu kereta Toyota Vios dan anaknya yang duduk di tempat penumpang depan manakala dua lagi mangsa adalah penunggang serta pembonceng motosikal.

Mangsa terbabit dikenali sebagai Norazizi Kamaludin, 34, dan anak sulungnya Mohd Ammar, 4, maut di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa yang meninggal dunia belum dapat dikenal pasti identitinya.

Difahamkan, ketika kejadian Norazizi sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Negeri Sembilan untuk menyambut Aiduilfitri bersama keluarga di Kampung Gua Reban, Kupang.

Isterinya, Norhafizah Md Isa, 33, tidak cedera tetapi masih trauma manakala seorang lagi anak mereka Nur Amira berusia dua tahun parah dan dirawat di Hospital Baling.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat – berita harian