CHUKAI: Empat nelayan yang terapung laut sejak lima hari lalu selepas bot yang mereka naiki karam akibat bocor pada kedudukan 60 Batu Nautika dari Kuala Kemaman di sini, diselamatkan oleh sebuah kapal, awal pagi tadi.

Empat nelayan terbabit, tekong A Bakar A Rahman, 65 dan awak-awak Alias Mamat, 54; Ibrahim Jusoh, 62, dan Sulaiman Kadir, 25, ditemui sebuah kapal dalam perjalanan untuk menghantar bekalan di sebuah pelantar minyak, kira-kira jam 3 pagi.

A Bakar berkata, semua mereka yang berasal dari Kuantan keluar menangkap ikan sejak 28 April lalu.

Katanya, dia dan awak-awak menyedari bot mereka bocor di bahagian enjin pada 2 Mei, kira-kira jam 5 pagi.

“Akibatnya enjin gagal dihidupkan untuk kami mengepam keluar air yang memenuhi bot. Menyedari kami di ambang maut, saya mengarahkan awak-awak supaya mengikat tiga buah tong ikan untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, mereka semua terjun ke laut dan berpaut pada tong ikan sebelum bot mereka tenggelam kira-kira jam 11 pagi.

“Kami berpaut pada tong ikan selama lima hari dan tidak putus berdoa untuk diselamatkan tetapi sepanjang tempoh itu tiada bot nelayan yang melalui kawasan itu,” katanya sambil menambah mereka hanya makan beberapa keping biskut dan bekalan air masak sebelum putus bekalan sejak dua hari sebelum diselamatkan.

Katanya, doa mereka agar diselamatkan akhirnya dimakbulkan apabila sebuah kapal menghampiri bot mereka dan memberi bantuan.

Sementara itu, Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Lefternan Komander Maritim, Muhammad Rezal Kamal Bashah, berkata nelayan berkenaan diselamatkan kapal Nautikal Tanjung Puteri 4 yang dalam perjalanan ke sebuah pelantar minyak.

“Kapal terbabit membawa nelayan berkenaan masuk ke Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) sebelum dibawa ke Pangkalan Maritim Kemaman untuk diambil keterangan,” katanya – berita harian