KUALA LANGAT: Polis berjaya memberkas empat penjenayah yang cuba meloloskan diri dalam insiden kejar mengejar di Jalan Bunga, Pekan Banting di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, semua suspek berusia 20 hingga 30 tahun dilihat menaiki sebuah kereta Honda Civic dalam keadaan mencurigakan oleh kereta peronda polis (MPV).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata keingkaran suspek memberhentikan kenderaan menyebabkan berlaku kejadian kejar mengejar di kawasan berkenaan.

“Beberapa unit MPV lain turut membantu mengejar kereta itu, namun suspek terus melarikan diri sehingga melanggar dua kereta polis.

“Kereta suspek kemudian terbabas dan melanggar dinding bangunan kedai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keempat-empat suspek melarikan diri dan seorang daripada mereka cuba bertindak agresif ke arah polis.

“Ini menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek yang mengalami kecederaan pada kaki kanan dan bahu.

“Suspek yang cedera dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut,”katanya.

Kata Fadzil, hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek itu menemui sarang burung, peralatan menghisap dadah dan pecah rumah.

“Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dadah manakala seorang daripada mereka dikehendaki polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya – berita harian