IPOH: Bilangan mangsa keracunan makanan dipercayai berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, Kedah, kini hanya empat pesakit di Perak.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming, berkata situasi semasa kes di negeri ini adalah membabitkan empat mangsa yang kesemuanya dirawat di Hospital Gerik.

“Bilangan kes semasa di dalam hospital adalah empat kes iaitu dirawat di Hospital Gerik dan keadaan mereka adalah stabil.

“Semua klinik kesihatan dan hospital di Perak juga sudah diarah untuk memaklumkan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) di daerah masing-masing jika mengesan kes Acute Gastroenteritis (AGE) atau cirit-birit akibat makan laksa di kedai sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, AGE yang ada kaitan dengan laksa daripada gerai di Kupang, Baling perlu dilaporkan kepada PKD untuk tindakan lanjut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan pertambahan 42 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 daripada kes terbabit dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor.

Katanya, hasil siasatan mendapati, pesakit terbabit memakan laksa yang dibeli daripada gerai sama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes terkini adalah 61 kes.

NSTP kelmarin melaporkan, KKM mengesahkan kes keracunan makanan itu mengakibatkan dua kematian dengan dua yang meninggal dunia ialah Raseah Ali Musa, 70, dan orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahim Abdul Manan, 28, yang kedua-duanya berasal dari Gerik – berita harian