SHAH ALAM: Tindakan empat premis menjual kasut dan aksesori peralatan sukan tiruan di Subang dan Puchong mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa dalam dua serbuan berasingan, minggu lalu.

Operasi dijalankan satu pasukan khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor pada 7 dan 8 Februari itu membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai lebih RM25,000.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan wakil cap dagang mengenai penjualan barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

Katanya, dalam serbuan pertama pada jam 1 petang 7 Februari lalu, pihaknya merampas 232 pasang kasut berjenama Adidas bernilai RM23,200 di sebuah kedai pakaian di Puchong.

“Keesokannya, kami menyerbu tiga lagi kedai serbaneka di sekitar Subang yang membawa kepada rampasan sebanyak 144 unit aksesori peralatan sukan seperti alat pelindung lutut, lengan dan kaki, bernilai RM2,184.

“Semuanya menggunakan cap dagangan jenama Bio-Ray,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekal atau menawarkan barangan menggunakan perihal dagangan palsu.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM15,000 bagi syarikat, manakala RM10,000 untuk individu persendirian, atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Dalam pada itu, Azman berkata, sebanyak 73,684 premis diperiksa tahun lalu dan daripada jumlah itu, 1,102 premis sudah dikenakan tindakan.

“Ia membabitkan nilai rampasan berjumlah hampir RM7 juta, antaranya mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Jualan Langsung 1993 dan Akta Hakcipta 1987.

“Nilai kesalahan kompaun yang dikenakan pula berjumlah RM277,251,” katanya – berita harian