TAPAH: Perak menggariskan empat prinsip utama untuk memperkasakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini menjadi kuasa ketiga menjayakan agenda negara selepas kerajaan dan pentadbir.

Empat prinsip itu ialah inisiatif, kreatif, inovatif dan relevan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, setiap NGO perlu mempunyai empat prinsip itu untuk terus kompeten.

“NGO Perak mesti ada empat prinsip ini, barulah ia dapat diupayakan menjadi kuasa ketiga,” katanya ketika berucap di program Sehati Sejiwa Negaraku Malaysia di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Isnin.

Sempena program itu, beliau turut melancarkan Kelab Veteran MAYC (VMAYC) Batang Padang.

Hadir sama Pengerusi VMAYC Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr Mazalan Kamis.

Kira-kira 200 wakil daripada 65 NGO hadir pada program itu yang diadakan sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Batang Padang dan Kampar.

Samsudin berkata, kerajaan negeri serius untuk memperkasakan NGO di sini melalui penyediaan Pelan Tindakan Strategik NGO 2016 – 2020 yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tahun lalu.