ARAU: Empat remaja yang ditahan polis kerana menunggang motosikal secara melulu dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Baru Cikgu Ali, Mater Ayer di sini, malam tadi, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata keempat-empat remaja berkenaan yang berusia antara 15 hingga 18 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan syabu.

Katanya, keempat-empat mereka adalah antara lima orang yang ditahan dalam operasi berkenaan, kira-kira jam 7 malam dan kini diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Arau untuk siasatan lanjut.

“Menerusi operasi malam tadi, kami lebih menumpukan kepada penunggang motosikal yang menunggang tanpa lesen dan menunggang secara berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Sebanyak 13 motosikal diperiksa dan kami mendapati lima penunggang menunggang motosikal secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

“Kami percaya mereka berada di bawah pengaruh dadah ketika menunggang motosikal sehingga mereka berani melakukan aksi yang membahayakan mereka sendiri,” katanya.

Nanda berkata, selain lima motosikal disita, sebanyak 38 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi malam tadi.

Katanya, mereka kini direman empat hari bermula hari ini hingga 10 Februari ini, dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.-berita harian