KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk menghapuskan kutipan kadar tol di beberapa lebuh raya terpilih di ibu negara.

Pemansuhan itu akan dilaksanakan pada bukan waktu kemuncak iaitu antara 11 malam hingga 5 pagi.

Pada waktu biasa, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Perkara itu merupakan antara cadangan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, yang mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuh raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Menurutnya, dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada bagi mengurangkan kos sara hidup pengguna.

Sebagai ganti ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan, yang mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran ‘congestion charge’ yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Hasil kutipan “congestion charge’ akan digunapakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.

Tambahnya, lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, diguna untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette