KUALA LUMPUR: Polis menahan 40 pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Jambu Mawar di sini, tengah malam tadi.

Operasi bersepadu pada jam 12.30 tengah malam dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata serbuan dijalankan selepas pusat hiburan itu dipercayai menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja dan berlaku kegiatan dadah.

“Seramai 40 GRO warga asing dari Thailand, Laos dan Myanmar berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Kami turut menahan lima pekerja terdiri daripada tiga pembantu kaunter dan dua penjaga warga Bangladesh berusia antara 27 hingga 36 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing, didapati seorang daripada GRO terbabit dan tiga pengunjung positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rohaimi berkata, pemeriksaan terhadap pusat hiburan itu mendapati ia memiliki lesen sah.

“Kami merampas wang tunai berjumlah RM9,835, pelbagai jenis minuman keras, dokumen transaksi perniagaan dan beberapa peralatan muzik.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 55 (B) dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963; Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 29 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992,” katanya – berita harian