IPOH – Kira-kira 4,000 Jalur Gemilang dipasang di sekitar kawasan Dun Hulu Kinta di sini menerusi Program Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pemasangan bendera pelbagai saiz itu juga bertujuan menyemarakkan semangat patriotik penduduk melalui Malaysia baharu pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

Kerja-kerja pemasangan bendera secara bergotong-royong membabitkan 50 golongan muda termasuk wanita yang juga penduduk setempat kawasan itu.

“Setiap kali pilihan raya umum kita lihat di kiri dan kanan jalan penuh bendera parti, jadi apa salahnya kita memasang Jalur Gemilang sempena bulan kebangsaan dan diharap ia menjadi contoh kepada Parlimen dan DUN di lain negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di sini malam tadi.

Beliau berkata kesemua bendera itu adalah hasil sumbangan pihaknya serta Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, yang juga Anggota Parlimen Tambun. – Bernama