TAIPING: Lebih 400,000 orang Friends Of KPDNKK akan membantu Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau dan memberi maklum balas mengenai Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2017, yang bermula hari ini (Sabtu).

Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka akan membantu 2,600 pegawai penguatkuasaan kementerian membuat pemantauan di seluruh negara.

Selain itu, kata beliau, KPDNKK juga akan mendapatkan kerjasama RELA, Angkatan Pertahanan Awam (APM), penghulu dan ketua masyarakat untuk membantu.

Menurut beliau, pegawai penguatkuasa kementerian akan berada di lokasi – lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan pusat membeli belah untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

40k-pantau-skim 3

“Apabila terdapat sahaja aduan, kita akan menghantar pasukan dengan segera untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita sempena tinjauan di pusat membeli belah TESCO di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Hamzah yakin, berdasarkan kajian ketika skim kawalan harga pada awal Ramadan baru-baru ini, kes-kes menyalahi peraturan akan terus berkurangan.

Beliau memberi contoh, ketika skim itu, hanya dua aduan diterima dan hanya enam bilangan kes dengan jumlah kompaun hanya RM900 daripada 13,464 premis yang diperiksa seluruh negara.

Beliau mengingatkan para peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan skim itu dan kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar.

40k-pantau-skim