IPOH: Seramai 41 pemimpin tinggi dari seluruh provinsi (negeri) di Indonesia adakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Ipoh.

Mereka yang antaranya terdiri daripada Wali Kota, Panglima dan bekas Gabenor di provinsi masing-masing akan berada di bumi Perak selama dua hari sehingga Rabu ini.

Pengerusi Pertubuhan Dakwah Islamiah Perak Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Azhar Ahmad berkata, rombongan tersebut merupakan susulan daripada kunjungan hormat Dr Zambry ke Lombok, Indonesia baru-baru ini.

“Rombongan ini antara lainnya ialah satu usaha dakwah oleh mereka untuk membawa umat Islam ke jalan benar supaya umat Islam seluruh dunia mendapat barakah dari Allah S.W.T.

 

 

img-20170110-wa0007

 

“Mereka singgah di sini mahu memberi penghormatan kepada Menteri Besar sebelum berlepas ke Tongi, Bangladesh untuk perjumpaan umat Islam seluruh dunia di sana,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Tambah beliau, antara kawasan akan dilawati oleh rombongan tersebut ialah Masjid Seribu Selawat di Pangkor untuk program Qiamulllai.

Pada Isnin, ketibaan rombongan tersebut disambut Dr Zambry di kediaman rasminya bagi program solat berjemaah.

Kemudiannya Menteri Besar telah membawa rombongan tersebut ke Bulatan Meru Raya, Ipoh bagi menyaksikan program Street Dakwah.

Street Dakwah merupakan sebuah program menampilkan selebriti-selebriti yang telah insaf untuk berkongsi pengalaman mereka sambil mempersembahkan lagu-lagu hit mereka yang telah diubah suai ke arah keagamaan.

Antara yang hadir pada progam di Bulatan Meru Raya itu, Ali XPDC dan Iwan Dangdut.