LARUT 12 April – Polis Perak telah mengenal pasti 440 individu yang boleh memberikan ancaman keselamatan dan ketenteraman awam semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, daripada jumlah itu 43 individu yang kebanyakannya penyokong parti politik dikategorikan sebagai keutamaan kelas 1.

Menurutnya, dalam masa sama polis Perak telah mengenal pasti 23 kawasan panas di negeri itu yang perlu diberi perhatian semasa PRU-14 dengan empat daripadanya dikategorikan sebagai kawasan paling panas.

“Polis akan memantau kawasan tersebut dengan teliti agar tidak berlaku kekecohan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“Seramai 90 peratus daripada 8,709 pegawai dan anggota polis Perak akan ditugaskan sepanjang PRU-14 selain 700 pegawai tambahan dari Bukit Aman bagi mengawal ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Selama di Ibu pejabat Polis Daerah Selama di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, bekas Ajutan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am Kulim, Kedah, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Saad, 44, dilantik Ketua Polis Daerah Selama yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd. Sabri mengambil alih jawatan daripada Deputi Superintenden Loo Lian Lay, 60, yang bersara wajib pada 15 April ini setelah 42 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Hasnan, polis Perak telah mengadakan persiapan PRU-14 sejak Jun 2016 dalam menghadapi sebarang ancaman dan kemungkinan yang akan berlaku.

Beliau turut menasihatkan bakal calon yang akan bertan­ding serta ejen supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya dan tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengganggu proses pilihan raya,” katanya – utusan