IPOH: Sejumlah 4,632 orang belum melunaskan Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Perak yang membabitkan jumlah tunggakan sebanyak RM17.4 juta setakat 31 Disember 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Muhammad Amin Zakaria berkata, kesemua individu terbabit bakal diambil tindakan serta disenaraihitamkan sekiranya mereka masih berdegil untuk membuat bayaran semula.

“Kita (kerajaan negeri) kalau boleh tak nak ambil tindakan kepada anak-anak Perak, tetapi dalam masa sama kerajaan negeri juga perlu memikirkan mengenai masa depan untuk anak-anak Perak lain yang mahu memohon pinjaman ini.

“Kita telah berbincang dan membuat keputusan jika mereka masih lagi enggan bayar mereka bakal berhadapan dengan tindakan disenaraihitamkan dan nama mereka akan diberi kepada Agensi Pelaporan Kredit iaitu Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data System Sdn Bhd (CTOS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Perak di sini pada Isnin.

Tambah Muhammad Amin setakat ini lebih 20 individu telah diambil tindakan mahkamah sejak 2015 kerana dikesan enggan membayar pinjaman yang dibuat sebelum ini walaupun telah mendapat pekerjaan tetap.

“Banyak individu-individu ini membuat tafsiran sendiri kononnya selepas habis belajar mereka dapat kerja yang mereka tidak mahu, jadi mereka fikir ianya tidak dikira sebagai kerja tetap dan hanya bersifat sementara justeru tak perlu bayar.

“Ianya salah kerana mengikut kontrak itu, peminjam-peminjam ini wajib membayar semula mengikut peringkat selepas 6 bulan tamat pembelajaran sama ada kerja itu mereka minat atau tidak.” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta individu-individu yang belum membuat pembayaran untuk datang berjumpa dengan wakil kerajaan negeri.

“Kita sebenarnya fleksibel, kita faham masalah-masalah yang dihadapi tapi kena datang jumpa kita dulu supaya kita dapat aturkan semula jadual pembayaran, jangan takut untuk datang,” nasihat beliau.

Dalam majlis tersebut seramai 505 anak Perak telah ditawarkan pinjaman berkenaan yang melibatkan belanja keseluruhan berjumlah RM3,603,000.

Pecahan mengikut peringkat pengajian adalah 93 pelajar peringkat Diploma; 339 pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda; 61 pelajar peringkat Sarjana dan 12 pelajar peringkat Ijazah Falsafah.

Muhammad Amin memberitahu pelajar-pelajar tersebut juga berpeluang menukar pinjaman berkenaan kepada biasiswa secara automatik sekiranya berjaya mendapat kepujian kelas pertama dalam bidang yang diambil mereka.

“Ia merupakan hadiah daripada kerajaan negeri sekiranya mereka berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama dan untuk pinjaman itu pula ianya merupakan pinjaman tanpa faedah,” jelas beliau.

-AstroAwani