IPOH – Seramai 47 kakitangan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) 2015 pada Jumaat petang.

Anugerah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Drs Nizar di dalam ucapannya meminta kakitangan JAIPk supaya sentiasa muhasabah diri dan berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Sebagai penjawat awam, kita mesti berjiwa besar untuk memberi khidmat terbaik, apatah lagi, sebagai kakitangan jabatan agama, kita sepatutnya nenjadi contoh,” kata beliau.

Di dalam zaman ledakan maklumat sekarang, beliau mengingatkan kakitangan JAIPk supaya tidak menyebarkan maklumat tidak benar di dalam media sosial kerana ia boleh menimbulkan fitnah.

Sebaliknya, kata beliau, mereka sepatutnya menjadi pengaman yang membantu menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat.

Sementara itu, Mohd Yusop di dalam ucapannya pula berkata, banyak kejayaan yang telah diperolehi oleh unit-unit dan sekolah di bawah pentadbiran JAIPk.

Beliau memberi contoh kejayaan Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah yang telah mencipta nama dalam bidang inovasi sehingga ke peringkat antarabangsa.

Di samping itu, kata beliau, Bahagian Kehakiman Syariah juga telah banyak menyelesaikan banyak kes-kes tertunggak, termasuk 2,000 kes yang tidak pernah diusik sebelum ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusop berkata, sebagai menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengenai kebersihan hamam (tandas), pihaknya telah menubuhkan Kelab Hamam yang telah mempunyai 1,000 keahlian setakat ini.