IPOH: Pembangunan semula 48 pekan kecil di seluruh negeri diyakini merupakan pelan terbaik untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak tertinggal dalam menikmati agihan pembangunan yang seimbang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini sebanyak 10 pekan kecil telah siap sepenuhnya dan 10 lagi bakal siap dalam masa terdekat.

Menurutnya, tujuan utama pembangunan pekan-pekan kecil tersebut bukanlah berdasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya untuk memastikan rakyat di luar bandar turut serta dalam pelan penjanaan ekonomi secara sistematik dan mudah.

“Hasrat utama kita pada mulanya adalah pecahan dan agihan pembangunan yang dilaksanakan dapat dirasai bukan hanya di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar, maka dari situlah cetusan idea untuk pembangunan semula pekan-pekan kecil ini berlaku.

“Kita melaksanakannya dengan mengambil kira kawasan yang jauh di pedalaman, yang tidak mempunyai prasarana utama maka kita gunakan pendekatan strategik, melalui pekan-pekan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian setelah merasmikan Majlis Pelancaran Tindakan Strategik Koperasi Perak dan Taklimat Peluang Perniagaan kepada Anggota Lembaga Koperasi di Dewan Hajah Tuminah, di sini pada pagi Khamis.

Kata Dr Zambry, pihaknya akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk memastikan pembangunan semula 48 Kecil di Perak berjalan dengan lancar.

Tambahnya, antara terkini yang telah dibuka kepada peniaga tempatan adalah Dataran Amanjaya Bagan Datuk yang menelan kos RM 2.7 juta dan telah mula beroperasi sejak awal Januari.

Dataran yang terletak berhampiran Bagan Datuk Waterfront City itu mempunyai keluasan tiga ekar dengan 10 unit kedai dan gerai desa  serta dilengkapi dengan dataran dan taman permainan dan tandas awam.

10 lagi pekan kecil yang siap sepenuhnya adalah Dataran Amanjaya Taman Trong Perdana, Pekan Amanjaya ijok, Dataran Amanjaya Sauk, Lekir, Kubu Gajah, Manong, Gunung Semanggol. Lawin, Simpang Lima di samping Bagan Datuk.

Manakala lima lagi yang dijangka siap pada Februari 2017 adalah Dataran Amanjaya Slim Village, Temoh, Bandariang dan Changkat Jong.