Oleh: Nazialita Geynna Maharan

TAPAH: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sebagai persediaan menempatkan 48 penduduk termasuk seorang bayi perempuan yang terjejas akibat banjir kilat di Kg Sami, Jalan Tapah, lewat petang Sabtu.

Difahamkan, hujan lebat berterusan telah menyebabkan kenaikan paras air di Sungai Pahang yang seterusnya melimpah ke kawasan jalan utama dalam kejadian pada jam 5 petang itu.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.34 petang dan segera melaksanakan operasi pemantauan bagi memastikan keadaan keselamatan penduduk terjamin.

“Hasil pemantauan awal, kami mendapati air telah melimpah ke jalan setinggi 0.5 meter. Buat masa ini hanya pemantauan kerap dilaksanakan kerana tiada pemindahan mangsa.

“Bagaimanapun, sebuah pusat pemindahan telah dibuka bagi persediaan awal. Sekiranya keadaan bertambah teruk maka 48 penduduk yang terjejas akan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kg Sami,” katanya.

Menurut beliau, jumlah mangsa banjir yang terlibat sehingga pukul 11 malam terdiri daripada 26 dewasa, 21 kanak-kanak dan seorang bayi perempuan.

“Operasi pemantauan untuk memastikan keselamatan mangsa tamat sekitar jam 9 malam namun pemantauan berkala akan dilakukan oleh pihak kami,” katanya lagi.