Putrajaya: Sebanyak 480 tayar celup disita dalam dua serbuan berasingan di Bukit Beruntung, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan pada 23 dan 28 Februari lalu.

Serbuan dijalankan Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Bersepadu Khas Tayar Celup.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, PTK JPJ turut bekerjasama bersama Unit Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) serta bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Dalam serbuan pertama, sebanyak 265 tayar celup komersial serta 1,282 keping pelekat SIRIM MS224-2005 palsu dirampas.

“Serbuan kedua semalam, sebanyak 215 tayar celup serta 92 keping pelekat SIRIM palsu dirampas. Nilai rampasan bagi kedua serbuan itu bernilai lebih RM240,000,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sembilan pekerja warga asing serta dua pemilik premis turut ditahan.

“Operasi itu diadakan bagi membanteras kegiatan pembuatan tayar celup yang tidak mengikut piawaian.

“Penggunaan tayar celup tidak sah ini memberi ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya apabila serpihan tayar jenis itu sering dilihat di atas lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat PLUS pada tahun lalu, terdapat 1,485 kes kemalangan di lebuh raya disebabkan pelanggaran objek dan 41.3 peratus daripada objek adalah dari jenis tayar dan serpihan tayar.

-myMetro