IPOH – Walaupun pelbagai usaha dan tindakan telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengatasi masalah longgokan sampah haram, namum sejak 1 Januari hingg 21 Mei 2016, terdapat 4,823 longgokan sampah haram di sekitar Bandar Raya Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, MBI terpaksa membelanjakan antara RM100-150 ribu bagi menangani isu longgokan sampah haram sedangkan jumlah sebanyak itu lebih baik digunakan untuk pembangunan infrastruktur yang lain.

Bagaimanapun, kata beliau, sebagai penguasa tempatan, MBI sendiri begitu aktif dan konsisten dalam penjagaan kebersihan khususnya melibatkan penduduk tempatan seperti gotong-royong.

“Sambutan baik wargakota jelas menunjukkan bahawa usaha murni ini telah lama mendapat tempat semula di kalangan masyarakat, tidak kira di kampung mahupun di bandar,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis bulan Mei di sini pada Jumaat.

Zamri berkata, program itu akan diteruskan dari masa ke semasa sehingga Bandaraya Ipoh boleh dijadikan contoh serta mempunyai penduduk yang bersikap positif terhadap kebersihan.

Di samping itu, kata beliau, MBI juga akan sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada mana-mana pihak yang mengambil inisiatif untuk membantu serta bekerjasama dengan MBI untuk menjaga kebersihan bandar raya ini.

Penjagaan kebersihan merupakan tanggungjawab bersama, bukanlah tanggungjawab MBI semata-mata dan tong-tong sampah perlu disediakan manakala sampah perlu dimasukkan ke dalam plastik sampah yang sesuai untuk dikutip dan dilupuskan.

“Budaya menggantung sampah di dahan pokok dan pagar perlulah dielakkan kerana ia memburukkan pemandangan, melambatkan kerja serta menyukarkan tugas pungutan sampah yang perlu dibuat dalam kadar segera dan cepat,” ujarnya.

Zamri memberitahu, MBI mengutip kira-kira 500 tan metrik sampah sehari membabitkan kos berjumlah RM10,571 (RM21.50 bagi setiap tan) di sekitar kawasan Bandar Raya Ipoh.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, MBI telah membersihkan 138,238.8 km longkang, 7,318 longgokan sampah haram, melupuskan 185,943.08 tan sisa domestik, menjalankan 135 gotong-royong, memasang 592 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” serta mengeluarkan 783 tawaran kompaun bernilai RM107,100.00 terhadap pesalah pembuang sampah.

Di samping itu, katanya, tahun ini MBI telah membersihkan 578,805 km longkang, 4,823 longgokan sampah haram, melupuskan 63,136.45 tan sisa domestik, menjalankan 274 gotong-royong, memasang 308 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” serta mengeluarkan 182 tawaran kompaun bernilai RM25,090.00 terhadap pesalah pembuang sampah.

Beliau memberitahu, keluasan Bandaraya Ipoh telah mencecah 643 km persegi dan kawasan perkhidmatannya adalah seluas 387 km persegi, dengan 800,000 pendudk dan 289,000 unit premis, yang harus diberi perhatian oleh 2,175 anggota MBI.