MANONG – Jabatan Pertanian Perak yakin sasaran peningkatan pengeluaran durian daripada 6 metrik tan sekarang kepada 10 metrik tan sehektar menjelang 2020 akan dapatt dicapai dengan sokongan padu kerajaan negeri.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamhari berkata, penanaman klon durian bermutu seperti duri hitam (D200) , D24 dan cantuman dewasa juga akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran itu.

Menurutnya, pekebun durian memiliki pokok durian sudah tidak mengeluarkan hasil boleh menggunakan teknik cantuman dewasa untuk mengembalikan hasil buah itu.

“Kita menggalakkan pekebun durian untuk membuat pemulihan dusun mereka dengan menanam kon yang bermutu secara sulaman bagi membolehkan ia menghasilkan buah bermutu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Anugerah Kecemerlangan Pertanian di Pusat Latihan Pertanian Manong, di sini semalam.

Abdul Yunus berkata, jabatan akan memberikan bantuan benih, baja dan racun untuk membantu pekebun durian dalam usaha meningkatkan hasil durian.

Menurutnya, pekebun durian di negeri ini menghasilkan 22,359 metrik tan durian dengan pendapatan RM67 juta membabitkan kawasan dusun seluas 4,703 hektar dengan 3,766 orang pekebun pada tahun lalu.

“Bagi pengeluaran buah-buahan seperti rambutan, duku langsat, manggis dan mangga menghasilkan pengeluaran 106,279 metrik tan dengan pendapatan RM318 juta membabitkan kawasan seluas 8,594 hektar dengan pembabitan 25, 000 orang petani pada tahun lalu.

“Perak mempunyai kawasan pengeluaran durian terbesar di kawasan Batu Kurau, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Kampung Gajah, Batang Padang dan Pengkalan Hulu, “katanya.

Justeru, Abdul Yunus meminta pekebun durian supaya menanam klon durian bermutu kerana ia dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Menurutnya, mereka boleh datang berjumpa dengan pegawai pertanian di setiap daerah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sebagainya – sinar