PUTRAJAYA: Sebanyak 498 penerbangan akan terjejas susulan penutupan sementara ruang udara di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 antara jam 9 pagi hingga 10.30 pagi bermula 27 hingga 31 Ogos ini.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan sementara ruang udara itu bagi tujuan raptai, latihan dan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 98 penerbangan terjejas pada 27 Ogos (24 ketibaan dan 74 berlepas); 101 penerbangan pada 28 Ogos (30 ketibaan dan 71 berlepas) manakala, 99 penerbangan pada 29 Ogos (26 ketibaan dan 73 berlepas).

“Seterusnya, 99 penerbangan terjejas pada 30 Ogos (28 ketibaan dan 71 berlepas) dan 101 penerbangan pada 31 Ogos (31 ketibaan dan 70 berlepas),” katanya.

Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyeru orang ramai khususnya yang membuat perjalanan melalui udara pada tarikh berkenaan supaya mengambil maklum mengenai penutupan ini.

Katanya, mereka dinasihatkan sentiasa berhubung dengan syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang bagi mendapatkan maklumat dan jadual penerbangan yang terkini.

Pada masa sama, pihak kementerian dan CAAM juga mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemas kini maklumat penerbangan yang terjejas dan memaklumkan kepada penumpang lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

Katanya, CAAM sudah mengeluarkan notis kepada Anggota Penerbangan (NOTAM) bertarikh 6 Ogos untuk memberi makluman kepada industri penerbangan beroperasi di KLIA dan klia2 berhubung penutupan ruang udara sementara dan kemungkinan beberapa sekatan tambahan kepada beberapa penerbangan tiba dan berlepas yang mungkin mengakibatkan penangguhan pesawat.

“Pertunjukan udara Hari Kebangsaan 2018 turut menjejaskan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), bagaimanapun CAAM akan memastikan pergerakan lalu lintas udara yang selamat dan cekap tanpa perlu menutup ruang udara di sekitar LTSAAS Subang.

“CAAM komited untuk memastikan kelancaran pertunjukan udara ini serta mengelakkan kesulitan orang ramai terutamanya penumpang pesawat di KLIA dan klia2,” katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Pengangkutan menjelaskan, penutupan sementara ruang udara itu penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pertunjukan udara dan paling utama, bagi memastikan keselamatan ruang udara dan peramalan pergerakan pesawat berjadual di KLIA dan klia2 – berita harian