KOTA BHARU: Lima awak-awak warga Vietnam masing-masing didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menangkap ikan tanpa kebenaran dalam perairan Malaysia.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Tran Van Hien, 50; Le Mint Tuan, 35; Phan Van Tuan, 34; Tan Van Tuan, 36; dan Pham Vanri, 26, mengaku salah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Seorang lagi tertuduh, Le Mint Trung, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama-sama di atas vessel tangkapan ikan asing didakwa menangkap ikan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran dan permit dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, pada jarak 95.3 batu nautika dari Pulau Redang, Terengganu, jam 5.42 petang 20 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan Malaysia 1985 dan dibaca bersama Seksyen 24 (1) akta sama yang dihukum mengikut Seksyen 25 (a) akta sama, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menyara keluarga di Vietnam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Noor memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh.

“Kesalahan tertuduh mengganggu punca pendapatan nelayan tempatan yang hanya bergantung pada hasil tangkapan di negara ini,” katanya.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober depan untuk prosiding bicara terhadap Mint Trung – berita harian