IPOH – Lima Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan ketidakpuasan hati apabila pucuk pimpinan bersetuju membenarkan logo parti itu digunakan oleh parti lain di bawah pakatan Harapan.

Mereka mendakwa ketua cabang merupakan golongan yang bersusah payah mendapatkan sokongan daripada akar umbi untuk terus menyokong parti itu sejak 20 tahun yang lalu dan ia bukan kerja sekelip mata.

Ketua Cabang PKR yang hadir ialah Mohd Khair Mohd Zainal (Kuala Kangsar), Yusaili Alias (Parit), Adenan Talib (Tapah), Id Azzalan Shah Banyamin (Lenggong) dan Kaha Othman (Gerik).

“Sebagai Ketua Cabang Parit, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena aabila pimpinan dengan mudahnya memberi kebenaran kepada parti lain dalam kes Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masih ‘setahun jagung’ dalam penubuhannya.

“Perjuangan yang begitu panjang disebalik penubuhan parti dan begitu mudah diberikan hak kepada parti lain termasuk Bersatu.

“Kita minta kepimpinan fikirkan kerana ia maruah dan imej kita (Keadilan) yang berjuang selama ini dengan mudah memberi kepada parti lain Barisan Nasional (BN) juga tidak membenarkan parti lain menggunakan simbol dacingnya kita pula mudah sahaja,” ujar Yusaili dalam satu sidang media khas Ketua Bahagian Keadilan, Parti Keadilan Negeri Perak di Hotel Seri Malaysia, hari ini.

Kenyataan beliau disokong oleh Ketua Cabang Tapah, Adenan Talib yang secara peribadi tidak mempercayai mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana bertindak menggunakan logo parti Keadilan dalam PRU-14.

“Orang pakai dan pinjam (logo), saya secara peribadi membantah logo digunakan oleh Bersatu, belum cukup setahun ditubuhkan dah pecah belahkan parti Keadilan.

“Masuknya Parti Bersatu banyak kerusi Keadilan telah dikorbankan tanpa justifikasi, terutama perspektif Perak. Andainya Bersatu wujud tetapi sekadar adik kecil kepada kita mungkin kami tak kisah. Di Tapah sendiri kita dengan rela beri kerusi Parlimen dia dapat pula DUN sedangkan Keadilan sudah berada di sana sejak 1999 lagi.

“Perlu persepakatan tetapi kini lebih kepada dominasi, mengecewakan ahli yang di bawah. Ia satu liabiliti. Saya bukan kecewa tidak menjadi calon tetapi biar adil kerana saya masih berpegang kepada konsep reformasi malah saya khuatir Bersatu dipimpin Dr Mahathir akan ‘hijack’ gerakan reformasi, iaitu bukan hanya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib tetapi mengubah seluruh kepimpinan negara,” katanya.

Ketua Cabang Lengong, Id Azlan Shah Banyamin pula memohon kepimpinan mendengar hasrat dan cetusan rasa suara akar umbi yang diwakili ketua cabang masing-masing.

Ketua Cabang Gerik, Kaha Othman pula berkata senario yang berlaku ini mencerminkan bahawa kepimpinan gagal untuk turun padang memperjelaskan isu sebenar yang berlaku.

Beliau turut mempersoalkan mengapa pucuk pimpinan tidak turun padang, berbincang dengan para Ketua Cabang dan menerangkan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) melibatkan PPBM.

“Saya telah bekerja di Gerik selama lima tahun tapi langsung tidak diambil kira. Barang bukti saya telah tunjuk tapi seperti tidak difahami pemimpin atasan sehinggalah satu kerusi Parlimen dan dua DUN di Gerik diberikan kepada Bersatu.

Apakah saya patut jelaskan kepada akar umbi? Begitu kecewa sekali, mereka lupa perjuangan akar umbi. Pemilihan ini amat tidak mengikut apa yang akar umbi harapkan dan banyak calon payung terjun.

“Jadi ada peluang dalam masa sehari dua ini supaya pemimpin sedar bahawa akar umbi memangkah bukan pemimpin seorang yang menentukan kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang Kuala Kangsar, Md Khair Mohd Zainal pula mengakui kecewa apabila peruntukan kerusi untuk Ketua Wanita tidak diberikan hak seperti yang dijanjikan.

“Sekiranya di dalam parti sendiri gagal mempertahankan prinsip bagaimana rakan-rakan parti lain boleh menghormati, sampai sekarang bilik gerakan kami juga telah ditutup,” katanya.

Mengulas sama ada mereka bersedia menerima sebarang tindakan daripada parti kerana menyuarakan pendapat sedemikian, mereka sebulat suara berkata mereka berada dalam sistem demokrasi dan berhak menyuarakan pendapat supaya pihak kepimpinan mengubah pendirian.

Difahamkan berikutan gabungan Pakatan Harapan, sebanyak lima kerusi Parlimen serta lima kerusi DUN telah diberikan kepada Bersatu dan PKR hanya memperolehi 14 kerusi Dun dan lima kerusi Parlimen yang masih belum diumumkan secara rasmi.

Antara kerusi Perlimen yang akan ditandingi PKR ialah Tapah, Gerik dan Lumut manakala DUN pula Parit dan Bukit Chandan.