TANJUNG MALIM: Lima daripada 20 penumpang tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter cedera dalam kemalangan membabitkan tren berkenaan dengan tren KTM Kargo di Stesen Tanjung Malim, jam 6.02 pagi tadi.

Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dalam satu kenyataan, memaklumkan semua penumpang yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim dan menerima rawatan pesakit luar serta sudah dibenarkan pulang.

Menurutnya, seramai 15 lagi penumpang yang selamat pula dipindahkan ke tren KTM Komuter lain dan meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral.

“Tren KTM Kargo dengan muatan 30 gerabak memulakan perjalanan dari Stesen Jalan Kastam pada jam 2.15 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Kargo Ipoh (ICT) jam 7.50 pagi.

“Tren berkenaan kemudian berlanggar dengan tren KTM Komuter yang ingin memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang pada jam 6.05 pagi,” menurut kenyataan itu.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kelewatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sektor utara dan KTM Komuter Tanjung Malim-Kepong.

“Tren ETS perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 5.05 pagi dan dijangka tiba pada jam 8.05 pagi mengalami kelewatan perjalanan selama 60 minit manakala perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar mengalami kelewatan 25 minit.

“Perkhidmatan tren ETS bagi Sektor Utara selain daripada yang dinyatakan akan mengalami kelewatan perjalanan di antara 10 hingga 15 minit,” menurut kenyataan itu.

Kemalangan itu turut mengakibatkan perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan selama 15 minit iaitu membabitkan perjalanan dari Tanjung Malim ke Kepong manakala 25 minit bagi perjalanan Kepong ke Tanjung Malim.

Perkhidmatan tren KTM Komuter selain daripada laluan Tanjung Malim-Kepong akan beroperasi seperti biasa dan semua kelewatan itu disebabkan hanya satu landasan dapat digunakan.

“KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Kerja-kerja baik pulih dan siasatan lanjut berkaitan insiden ini sedang dijalankan.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa, untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari Twitter @ktm_berhad,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tinjauan NSTP di lokasi kejadian jam 10 pagi mendapati ada antara koc tren KTM Komuter terperosok lebih satu meter ke dalam koc di hadapan, dipercayai akibat hentaman kuat pelanggaran itu.

Pegawai dan kakitangan KTMB kelihatan sibuk melakukan pemeriksaan kerosakan, namun pihak pengawal di stesen itu menghalang pihak media daripada merakam gambar atau video tren terbabit kemalangan.

Penumpang komuter pula kelihatan menunggu di luar dan hanya dibenarkan memasuki platform apabila tren tiba di satu lagi laluan yang tidak terjejas dengan kejadian itu.

Seorang penumpang yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSU), Suhadah Majid, 21, ketika ditemui, berkata dia bersama seorang rakan sepatutnya menaiki tren KTM Komuter untuk ke KL Sentral pada jam 10.15 pagi, namun perjalanan itu tertangguh lebih setengah jam.

“Saya dimaklumkan untuk menunggu sehingga 20 minit daripada jadual asal kerana masalah itu. Saya sudah menunggu di sini sudah lebih setengah jam,” katanya.

Johari Kamaruddin, 52, penduduk dari Taman Muhibbah Jalan Ketoyong, dekat sini, berkata dia dan jemaah lain di Masjid Jamek Tanjung Malim, dikejutkan dengan detuman kuat sejurus selesai solat Subuh.

“Bunyi itu memang kuat dan mengejutkan jemaah semua tetapi pada ketika itu kami semua tidak tahu apa puncanya dan saya terus pulang ke rumah.

“Saya hanya mengetahui kejadian sebenar apabila tiba di pejabat jam 8 pagi tadi dan datang ke sini untuk melihat kejadian ini,” katanya – berita harian