PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan Pelan Hala Tuju Kesejahteraan Kanak-Kanak bagi merangka pelbagai program strategik secara bersepadu dan menyeluruh bagi mengatasi isu pendidikan, kemiskinan, perumahan dan pemakanan membabitkan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata lima kementerian akan bekerjasama merangka pelan berkenaan iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Pendidikan (MOE); Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, lima kementerian itu akan berfungsi sebagai jawatankuasa pemandu untuk memantau pelan hala tuju itu dengan KPWKM bertindak sebagai sekretariat.

“Tempoh sebulan diberikan untuk merangka pelbagai program berkaitan pelan berkenaan dan menteri di setiap kementerian akan ditugaskan memantau pelan itu.

“Kita tidak boleh mendakwa diri sebagai masyarakat prihatin jika meminggirkan mereka yang memerlukan terutama kanak-kanak.

“Kita juga tidak boleh bercakap mengenai masa depan yang lebih baik jika kira-kira satu daripada tiga atau satu daripada empat anak-anak hidup dalam kemiskinan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara kementerian berkaitan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun dan Timbalan Perwakilan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Dr Amjad Rabi.

Dr Wan Azizah berkata, pihaknya berharap pelan hala tuju itu akan tampil dengan pelbagai program komprehensif untuk mengatasi masalah berkenaan.

Sebelum ini, UNICEF dalam kajian setebal 76 muka surat melaporkan kanak-kanak di negara ini yang tinggal di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikenal pasti kelompok paling ramai mengalami masalah bantut dan kurus.

Lebih mengejutkan, data kaji selidik itu dikumpul daripada 966 ketua isi rumah dan 2,142 kanak-kanak dari 17 lokasi berbeza di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

Kaji selidik berkenaan juga menunjukkan wujud krisis di peringkat kebangsaan yang mempunyai kesan jangka pendek dan panjang terhadap kesejahteraan masa depan serta produktiviti ekonomi menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada 2020 dan seterusnya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan sudah membelanjakan RM287 juta untuk program kesejahteraan kanak-kanak bermula 1989 hingga 2017, namun tidak mencapai sasaran ditetapkan.

“Kita ada menghadapi masalah nutrisi, perumahan dan persekolahan khususnya membabitkan kanak-kanak, jadi ia perlukan penyelarasan untuk mendapatkan penyelesaian secara holistik,” katanya.

Selain itu, katanya, pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dulu dikenali Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah bagus tetapi gagal mengambil kira perbezaan kemiskinan setiap penerima bantuan itu.

“Jika dilihat pada isi rumah yang mempunyai lapan anak dengan keluarga seorang anak tetapi bantuan diterima sama. Kita juga kena bandingkan kemiskinan di setiap negeri,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, negara perlu berubah daripada amalan bantuan berbentuk kebajikan kepada bantuan membolehkan rakyat lebih berdikari untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada mana-mana penjawat awam yang tidak menyokong dan menghalang kerajaan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kami mengharapkan profesionalisme daripada penjawat awam dan mereka perlu berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini,” katanya – berita harian