PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengumumkan pelantikan lima Ketua Perwakilan Malaysia yang menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara, hari ini.

Bekas Duta Besar Malaysia ke Korea, Mohamad Nizan Mohamad, kini dilantik Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan.

Mohamad Nizan pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Korea (2015 hingga 2017) sebelum dipanggil pulang pada Februari tahun lalu berikutan krisis diplomatik Kuala Lumpur- Pyongyang.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand (2013 – 2015) dan Menteri Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Harare, Zimbabwe (2010 – 2013).

Chitra Devi V Ramiah pula dilantik Duta Besar Malaysia ke Poland; Mohd Haniff Abd Rahman dilantik Duta Besar Malaysia ke Arab-Mesir; Zahairi Baharim sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar dan Gloria Corina Anak Peter Tiwet sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria.

Chitra Devi sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste sejak 2016; Konsul Jeneral Malaysia ke Chennai (2012-2016) dan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Luar (2008-2012).

Mohd Hanif sebelum ini berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar sejak 2014, selain memegang jawatan sebagai Konsul Jeneral Malaysia ke Vancouver, Kanada (2011-2014) dan Setiausaha Bahagian Timur Tengah dan Afrika Utara, Kementerian Luar (2009-2011).

Zahairi pula sebelum ini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar, Kementerian Luar sejak 2016, selain memegang jawatan Menteri Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, Afrika Selatan (2012-2016).

Selain itu, Gloria Corina pula memegang jawatan terakhir sebagai Pengarah di Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar dari 2016 sebelum dilantik Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria.

Wanita kelahiran Sarawak itu adalah etnik Dayak pertama dilantik memegang jawatan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara.

Beliau pernah memegang jawatan Pengarah di Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2015, Kementerian Luar (2015-2016) dan Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden (2011- 2015) – berita harian