JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan lima orang kontraktor untuk membantu siasatan berhubung siasatan berkaitan tuntutan palsu melebihi RM400,000.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Karnival SDSI (Satu Daerah Satu Industri) dan Keusahawanan bagi daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu PKS (Program Kecil dan Sederhana) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor sedangkan semua program terbabit tidak dilaksanakan.

Kesemua lelaki yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 50-an adalah daripada syarikat berasingan ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 10 malam tadi.

Mereka dijangka dibawa ke mahkamah pagi ini bagi mendapat perintah tahanan reman bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut sumber, siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktikan penjawat awam yang terbabit di sebalik tuntutan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan lima lelaki itu – berita harian