KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), mengucapkan takziah kepada warga Politeknik dan Kolej Komuniti KPM berhubung tragedi kemalangan jalan raya yang mengorbankan lima mangsa di Kota Marudu, semalam.

KPM menerusi kenyataan hari ini mengesahkan tiga yang maut adalah pensyarah Politeknik Sandakan manakala dua lagi ahli keluarga kakitangan pusat pengajian berkenaan.

Tiga pensyarah yang maut itu, Annie Gideon, 56, Suzannie Stephen Galaut, 39, dan Esther Michelle Anak Gunben, 34, manakala dua lagi mangsa ialah Abdul Fattah Sallehhudin, 2, dan Mohd Khaizuzafarin Bedalib, 49.

KPM mengesahkan bas berkenaan milik Politeknik Sandakan dan dinaiki 40 penumpang dan 20 daripadanya adalah kakitangan Politeknik Sandakan.

“Semua mangsa yang cedera ditempatkan di Hospital Ranau dan Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan lanjut dan pihak keluarga yang terbabit juga sudah dimaklumkan.

“Pihak pengurusan Politeknik Sandakan sudah menghubungi ahli keluarga yang terbabit dan menghulurkan segala jenis bantuan diperlukan.

“Seluruh warga KPM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” kata kenyataan itu.

KPM turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mangsa terbabit termasuk pihak hospital dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) – berita harian