ALOR SETAR: Lima mayat lelaki ditemui terapung di beberapa lokasi di Sungai Muda di Kampung Padang Bukit, Taman Permai, Kuala Ketil, dekat Baling, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata mayat terbabit ditemui di antara jam 11.35 pagi dan 12.45 tengah hari tadi selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam.

Empat daripadanya adalah warga tempatan berusia 40 tahun hingga 50 tahun, manakala satu lagi mayat belum dikenal pasti.

“Mereka dipercayai antara pemain judi sabung ayam yang melarikan diri ketika polis menjalankan serbuan di Kampung Tanah Licin, Merbau Pulas pada jam 8 malam, 16 Februari lalu.

“Semua suspek yang berada di khemah utama tempat perjudian itu melarikan diri ketika tangkapan hendak dibuat dan polis percaya sebahagian daripada mereka terjun ke sungai berdekatan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua mayat terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah dan usaha mengesan mayat lain masih dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Mengulas operasi malam kejadian, beliau berkata, pihaknya menahan 76 individu serta merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM140,000 dalam serbuan itu. – BERNAMA