SEREMBAN: Lima rakan termasuk dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki wang palsu berjumlah RM1.41 juta, pada Disember tahun lalu.

Semua tertuduh, Azuan Miswadi Abdullah, 38; Khairul Anuar Parull, 33; Zulfikar Abd Rahman, 32; Izzaitie Aqma Johari, 24; dan Norsuhaila Abd Mutalib, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa memiliki 3,464 keping wang palsu 100 dolar Amerika (AS$) berjumlah RM1.4 juta dan 136 keping wang palsu RM100 berjumlah RM13,600 dengan niat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai, kira-kira jam 12 tengah hari pada 27 Disember 2017.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim, G Ramesh hanya membenarkan Khairul Anuar, Zulfikar dan Norsuhaila diikat jamin RM12,000 setiap seorang, manakala dua lagi tertuduh tidak dibenarkan jaminan kerana masing-masing di penjara bagi menjalani perbicaraan kes dadah.

Beliau turut menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 29 Disember tahun lalu, akhbar melaporkan polis merampas wang palsu dolar Amerika dan ringgit lebih RM1.41 juta selepas menahan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jijan Tengah, Nilai.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan berkata operasi khas itu susulan maklumat diterima mengenai rumah berkenaan yang menjadi lokasi pengedaran serta penagihan dadah jenis syabu – berita harian