SIBU: Lima sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak berusia 4 dan 12 tahun terbunuh dalam kemalangan ngeri di Jalan Oya – Sibu, di sini petang tadi.

Nahas yang berlaku berhampiran Balai Polis Stapang, di sini kira-kira jam 3.40 petang itu membabitkan empat kenderaan, termasuk masing-masing sebuah bas ekspres dan lori treler pengangkut kenderaan.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Dunstan, berkata kemalangan berlaku apabila lori treler berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh dan mengheret Perodua Viva dinaiki kesemua mangsa yang berada di hadapannya.

Beliau menjelaskan impak rempuhan kuat menyebabkan kereta berkenaan remuk teruk, dengan kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan terbabit.

“Ketika kejadian, saya memandu di hadapan kereta mangsa. Di hadapan kereta saya, terdapat sebuah lori membawa muatan batu yang mahu membelok ke sebelah kanan untuk menurunkan muatannya.

“Lori itu sudah memberikan lampu signal mahu membelok dan saya memperlahankan kereta. Ketika itulah secara tiba-tiba kereta saya dirempuh oleh Perodua Viva dari arah belakang menyebabkan saya terlanggar kereta jenis Proton Saga di hadapan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan merempuh sub-stesen elektrik berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dubstan berkata, selepas merempuh kenderaannya jenis Toyota Hilux, kenderaan mangsa kemudian terperosok ke bawah sebuah bas ekspres dari arah bertentangan.

“Saya bersama beberapa pengguna lalu lintas lain kemudian bergegas cuba mengeluarkan mangsa, namun sukar kerana mereka tersepit. Sebak saya mendengar tangisan kanak-kanak menahan kesakitan sebelum lama-kelamaan tangisan itu senyap,” katanya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak mengesahkan lima maut dalam kejadian berkenaan, masing-masing seorang lelaki dewasa yang juga pemandu Perodua Viva, bersama dua wanita dan dua kanak-kanak.

“Mangsa pertama seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 4 tahun berjaya dikeluarkan pada jam 4.50 petang, diikuti mangsa lelaki dewa pada jam 7.14 malam dan tiga lagi mangsa kira-kira 40 minit kemudian,” katanya.

Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mayat kesemua mangsa yang tersepit – berita harian