TAWAU: Lima maut, manakala seorang lagi hilang apabila sebuah bot laju dinaiki warga Indonesia bertembung dengan sebuah bot tanpa penumpang di perairan Sungai Nyamuk di negara jiran itu, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku ketika bot laju berkenaan dipercayai membawa 16 penumpang warga Indonesia dan juragan, dalam perjalanan dari Tawau ke Pulau Sebatik.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tawau, Kepten Maritim Romli Mustafa, berkata berdasarkan maklumat itu, pihaknya menjalankan operasi pencarian di kawasan perairan Malaysia.

“Susulan kejadian itu, lima penumpang terkorban dan seorang masih hilang, manakala yang lain berjaya diselamatkan.

“Pihak kami tidak mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), serta masih tiada menerima permintaan bantuan pencarian daripada pihak Indonesia.

“Bagaimanapun, kita terus memantau kawasan perairan Malaysia kerana aset Maritim Malaysia sedia ada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah merujuk Konsulat Republik Indonesia di Tawau berkenaan kejadian itu, namun belum menerima maklumat secara rasmi.

Sementara itu, menurut laporan portal berita Indonesia, semua mangsa adalah warga negara berkenaan yang bekerja dalam pelbagai sektor, termasuk perladangan, di Sabah.

Mangsa dilaporkan maut ialah tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 13 hingga 54 tahun, manakala seorang lagi belum dikenal pasti – berita harian