KERIAN: Sebanyak 50 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini telah menerima sumbangan juadah berbuka puasa yang ditaja Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sepanjang bulan Ramadan lalu.

Exco Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, kira-kira 5,000 keluarga yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian diikuti PKPB, menerima sumbangan itu yang melibatkan perbelanjaan hampir RM60,000.

Menurutnya, juadah berbuka puasa itu dimasak sendiri dan diedarkan oleh penduduk kampung masing-masing.

“Penduduk kampung amat berterima kasih dan bersyukur di saat mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan untuk berbuka puasa berikutan penutupan bazar-bazar ramadhan sepanjang PKP dan PKPB masih ada pihak yang prihatin yang menghulurkan pelbagai sumbangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Kuala Kurau berkata, selain itu Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau juga mengagihkan 1,000 kotak makanan, 500 ekor ayam, 500 kilogram ikan, 100 kilogran kurma dan lain-lain kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, semua agihan itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri dan pusat, PPPNP, badan korporat, pihak swasta dan individu.

“Kami juga memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan seperti kakitangan hospital dan klinik kesihatan, polis tentera, Rela dan pertahanan awam selain kakitangan pejabat daerah, majlis daerah, Kemas dan Mara,” ujarnya.

Abdul Yunus berkata, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mantan Pengerusi MPKK Mukim Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, mereka turut diraikan dengan memberi bantuan duit raya dan barangan keperluan asas.

“Pegawai-pegawai masjid seperti imam, bilal dan siak seramai 40 orang juga menerima sumbangan sehelai kain pelikat sebagai tanda penghargaan.

“Selain dari memberi sumbangan duit raya kepada 200 orang golongan asnaf, sumbangan duit raya juga turut diberi kepada 10 orang Penghulu-Penghulu Mukim Daerah Kerian serta kakitangan Hospital Parit Buntar dan para pesakit seramai 76 orang ketika menziarahi mereka pada petang 1 Syawal baru-baru ini,” katanya.