KOTA BHARU: Seramai 50 individu termasuk kanak-kanak dipercayai pengikut syiah ditahan dalam satu operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) di Jalan Sri Cemerlang di sini, malam tadi.

Sumber berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama polis, dibuat sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-61.

“Kita mendapat aduan bahawa lokasi itu dijadikan sarang pengikut syiah sejak beberapa tahun lalu.

“Dalam serbuan itu, kita menahan lebih 50 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, ketika mengadakan satu upacara yang bertentangan dengan ajaran agama Islam dalam premis itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, ketika dihubungi mengesahkan polis terbabit sama dalam operasi itu.

“Kami hanya sekadar membantu JAHEAIK dalam operasi itu dari segi keselamatan. Urusan lain semuanya dibuat oleh jabatan berkenaan,” katanya.

Sehingga petang ini usaha mendapatkan pengarah JAHEAIK negeri, Datuk Che Mohd Rahim Jusuh, masih gagal – berita harian