TAIPING– Peniaga bazar Ramadan di negeri ini diingatkan mematuhi garis panduan tahap kebersihan dalam penyediaan serta tapak perniagaan mereka bagi mengelak dikenakan kompaun berjumlah RM200.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Ding Lay Ming,tindakan kompaun atas pelbagai kesalahan itu termasuk aspek kebersihan dan kesihatan dalam mengendalikan makanan.


Katanya, tindakan tersebut bertujuan menyedarkan peniaga supaya mematuhi garis panduan peraturan yang ditetapkan, selain memastikan keselamatan dan kebersihan di tapak Bazar Ramadan terjamin.

“Ops Ramadan ini akan bermula hari ini dan akan berterusan sepanjang bulan Ramadan 2018 dengan menggunakan kekuatan 50 anggota penguatkuasa.

“Operasi pemantauan termasuk membabitkan pengambilan sampel makanan di bazar terbabit untuk diuji dari segi aspek kebersihan.,” katanya selepas melancarkan operasi berkenaan di Bazar Ramadan Kamunting di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Dr Ding berkata, tiada kompaun dikenakan terhadap peniaga setakat ini.

Jelasnya, operasi berkenaan bukan hanya dilaksanakan di bazar Ramadan tetapi turut diadakan di semua premis,seluruh Perak.

“Kita akan membuat operasi bagi memeriksa dan memantau di semua premis khususnya yang terbabit dengan penghasilan bahan mentah untuk dijual ketika Ramadan ini,” katanya.