HUTAN MELINTANG: Kerajaan mensasarkan 50 peratus daripada rakyat Malaysia akan memiliki diploma dan ijazah menjelang tahun 2050, selaras dengan status sebagai negara maju.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan yakin sasaran itu boleh dicapai sekiranya kesemua pihak berganding bahu dan menunjukkan komitment yang tinggi dalam tempoh 33 tahun ini.

WhatsApp Image 2017-04-30 at 13.36.21WhatsApp Image 2017-04-30 at 13.36.18

Menurut beliau, tanpa mengira apa bangsa sekali pun, rakyat Malaysia keseluruhannya perlukan semangat yang kental dalam menuju misi negara maju menjelang 2050.

“Komitmen tinggi amat diperlukan bagi kita mencapai mobiliti sosial secara vertikal di mana kita akan meningkatkan status sosial dikalangan rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JBP) 2017 di Hutan Melintang pada Ahad.

Beliau memberitahu menerusi program yang bermula 11 Mac lalu itu, hampir 60,000 belia seluruh negara telah diberi peluang kedua untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT), sekaligus melebihi sasaran ditetapkan sebelum ini iaitu sebanyak 50,000 orang.

Timbalan Perdana Menteri turut menggesa kesemua golongan yang telah diberi peluang kedua itu untuk membalas kepercayaan yang diberikan dengan menjadi pelajar cemerlang serta individu yang menyokong kerajaan serta dasarnya.

“Pastikan apabila kita dapat pekerjaan, bukan untuk bantu keluarga sahaja tetapi bantu negara menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memastikan produktiviti negara dapat dipertingkatkan,” ujar beliau.

Menurut beliau, pendidikan bukan merupakan agenda politik atau pilihan raya Barisan Nasional (BN) semata-mata tetapi ianya merupakan kepentingan bersama yang merentasi batas kaum, agama dan fahaman politik tanpa bermusim.