IPOH:
Kerajaan negeri Perak mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada usahawan mikro akan meningkat kepada kecil dan sederhana menjelang tahun 2050.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, buat masa ini 80 peratus daripada 60,000 usahawan di negeri ini berada pada skala mikro yang mencatatkan jualan tahunan kurang RM200,000.

Sehubungan itu, beliau berharap agensi-agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk membangunkan usahawan supaya terus berusaha untuk membantu usahawan.

“Dalam masa sama, usahawan juga janganlah mudah putus asa kerana sekali gagal, bukan bermakna akan terus gagal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan RisSMart Perak & Karnival Usahawan Risda di Terminal Amanjaya di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Risda, Halimah Abd Kadir dan Pengarah Risda Perak, Fikri Ghani.

Samsudin mengucapkan terima kasih kepada Risda kerana membantu melahirkan kira-kira 1,600 usahawan di negeri ini, termasuk 17 usahawan yang terlibat dengan RisSMart Perak.

Sementara itu, Halimah memberitahu, RisSMart Perak merupakan yang ke – 13 di seluruh negara dan Risda mensasarkan untuk mewujudkan satu RisSMart di setiap parlimen di seluruh negara.

Dalam hubungan ini, Samsudin berharap agar Risda dapat memanfaatkan pekan-pekan kecil di seluruh negeri Perak.

RisSMart Perak terletak di tengah-tengah Terminal Amanjaya yang diharap dapat meningkatkan lagi pendapat 17 usahawan, bukan sahaja yang terlibat di dalam pengeluaran, tetapi juga barangan kraft.

Pada majlis itu, Samsudin juga menyampaikan anugerah usahawan jaya kategori lelaki, wanita dan belia di samping menyerahkan cek kepada peserta program pembangunan usahawan Risda dan pembungkusan & pelabelan tahun 2017.