Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perak yakin mempunyai sasaran yang lebih realistik apabila meletakkan pencapaian 50 pingat emas dalam temasya SUKMA 2018 pada September ini berbanding 70 pingat emas sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata sasaran yang lebih realistik itu dicapai selepas perbincangannya dengan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN)  pasukan pengurusan kontinjen negeri baru-baru ini.

Menurutnya, penurunan sasaran pingat emas itu seharusnya tidak dilihat daripada sudut negatif oleh rakyat sebaliknya satu dorongan kerana ia tidak lari daripada sasaran untuk Perak menjadi juara SUKMA.

Jelasnya, perbincangan untuk mengurangkan sasaran kepada 50 pingat emas itu merupakan kata sepakat bersama jurulatih pasukan SUKMA dan ketua pengurusan pasukan terlibat.

Menurut Howard, sasaran 70 pingat emas sebelum ini terpaksa dirombak kerana ia tidak mengambil kira beberapa faktor sekeliling iaitu status pasukan pesaing serta analisa dan angka statistik terkini.

“Walapun kita menjadi tuan rumah SUKMA 2018, tidak semestinya kita meletakkan sasaran pingat emas yang terlampau tinggi, tanpa mengambil kira faktor sekeliling yang memberi kesan terhadap prestasi atlit, jangan ambil ini sebagai negatif tetapi seharusnya satu suntikan semangat untuk berjuang dan berlatih secara kuat supaya matlamat menjadi juara SUKMA 2018 tercapai,”katanya dalam Sidang Media Khas di Bilik Mesyuarat MSN, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Howard menegaskan beberapa acara sukan masih lagi mengekalkan bilangan pingat yang sama namun ada diantaranya perlu diubah berikutan penilaian faktor seperti keupayaan dan prestasi kontinjen lain yang semakin hebat.

“Contohnya, bola sepak. Kita mestilah terus terang, buat sementara waktu nampak seperti pasukan kita amat kuat tetapi keyakinan itu belum lagi sampai ke tahap di mana kita yakin pingat emas menjadi milik kita.

Justeru, kita tidak letakkan bola sepak sebagai acara yang tiada pingat emas, ini berdasarkan pemerhatian kita kepada lawan pesaing.

“Bukannya kerana kita tidak percaya, kepada pasukan kita…tetapi sebenarnya SUKMA ini akan disertai 14 kontinjen negeri jadi untuk menetapkan sasaran semata-mata (berlandaskan) keyakinan ke atas pasukan kita sendiri, tidak cukup. Faktor luar perlu diambil berat, itulah asas disebalik keputusan menyemak semula,”ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengenai potensi dan prestasi atlit SUKMA Perak untuk memberikan yang terbaik dalam temasya tahunan itu, Howard sekali lagi menegaskan bahawa penilaian perlu dibuat meliputi kesan kecedaraan atlit sebelum ini.

Katanya, kecederaan adalah perkara biasa buat atlit dan ianya berpunca samada daripada kesulitan masalah teknikal dan peralatan serta mendapat kecedearaan sewaktu proses latihan dan penyertaan.

“Ada juga faktor luar lain, ada di antara lawan kita yang menunjukkan prestasi cukup baik pada masa ini, jika dibandingkan dengan persembahan acara sukan mereka pada enam bulan yang lepas.

“Kita, hanya memainkan peranan untuk mengumumkan mengenai perkara ini kepada anak-anak Perak khususnya, rakyat Malaysia yang menunjukkan kadar prihatin yang tinggi kepada keadaan kontinjen negeri Sukma Perak kali ini.

Sementara itu, Howard Lee ingin mengingatkan bahawa beliau mengambil maklum tentang kebarangkalian perlantikan jawatankuasa SUKMA yang agar meragukan buat masa ini.

Tegasnya, bahawa beliau akan mengkaji malah menyiasat semula setiap jawatan di setiap peringkat dalam portfolioya sebagai Exco untuk mengetahui samada berlaku ketirisan dalam perihal tersebut.

“Saya masih menyiasat, masih berbincang dengan pihak persatuan, pengurusan dan golongan jurulatih. Cuma buat masa ini di peringkat 80 hari sebelum SUKMA berlangsung, tumpuan saya adalah untuk memastikan kita menang,” katanya.