IPOH: Kira-kira 500 muslimat menghadiri ceramah agama bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1438H yang diadakan di Kediaman Menteri Besar pada Rabu.

Ceramah agama yang diadakan sempena pengajian kelas agama setiap Rabu anjuran BAIDURI itu mengundang penceramah jemputan, Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Rasulullah Dihatiku’.

Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli bersama ahli BAIDURI, wakil badan Kerajaan dan NGO turut sama mengikuti program itu.

Selain ceramah, hadirin turut diperdengarkan dengan alunan qasidah dan selawat beramai-ramai.

Antara intipati tajuk yang disampaikan kepada hadirin merangkumi kecintaan terhadap Allah, Rasulullah SAW dan jihad ke jalan Allah.

Dalam ceramahnya, Ustaz Iqbal memetikan Surah At Taubah yang bermaksud:-

“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan.

“Perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”.

Menurut Ustaz Iqbal, ayat itu antara lain mengingatkan umat Islam supaya tidak meletakkan kecintaan terhadap manusia dan harta benda melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan jihad.