IPOH : Jika sebelum ini pakaian seragam sekolah yang disampaikan kepada pelajar sudah siap dibeli terus dari pasaraya atau kilang, lain pula kisahnya buat 500 pelajar masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Kesemua mereka mendapat pakaian seragam yang dijahit sendiri oleh tujuh wanita Orang Asli dari ‘team Ceknik’, khas dari Kampung Sungai Cincin, Chenderiang, Tapah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) Anuar Zainal Abidin, projek pakaian seragam baju kurung itu adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Program Kembali Ke Sekolah’ syarikat tersebut.

Ia khusus membantu mengurangkan beban ibu bapa masyarakat Orang Asli dalam membuat persiapan untuk anak-anak mereka bagi penggal persekolahan baharu tahun 2020.

“Bagi mengiktiraf kesungguhan ‘Team Ceknik’ dari Kampung Sungai Cincin ini dalam menyiapkan projek pertama mereka, pakaian seragam ini telah diletakkan label KSC.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian kumpulan wanita Kampung Sungai Cincin yang begitu komited dalam mempelajari teknik menjahit yang digerakkan oleh MB Inc sejak memulakan Program Kampung Angkat pada April lalu,” katanya.

Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan pakaian seragam itu kepada lima syarikat berkaitan kerajaan negeri Perak (GLC) untuk diedarkan kepada komuniti Orang Asli di bawah Program Kampung Angkat GLC Perak, pada Selasa.

Jelasnya, ‘Ceknik’ membawa maksud jahit dalam dialek suku Semai dan Kampung Sungai Cincin adalah salah satu daripada 20 komuniti Orang Asli yang terlibat dari Program Kampung Angkat Orang Asli oleh GLC Perak.

Program ini adalah cetusan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di negeri Perak.

Anuar berkata, MB Inc merancang untuk membantu meningkatkan kemahirandan kapasiti ‘Team Ceknik’, sekaligus membantu mereka menjana lebih banyak pendapatan.

“Ini bagi menyahut saranan Menteri Besar supaya GLC negeri menjadi peneraju kepada usaha meningkatkan tahap pendidikan dan sosio-ekonomi komuniti Orang Asli untuk jangka masa panjang, menerusi inisiatif Program Kampung Angkat,” ujarnya lagi.