TAIPING – Lebih 500 pekerja sebuah kilang di Kamunting mengadakan demonstrasi aman di perkarangan pintu masuk premis itu sejak semalam bagi menuntut janji pembayaran bonus daripada pengurusan syarikat.

Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Syarikat Pembuatan Keluaran Getah (NUECRMP) cawangan Perak, S Govindasamy berkata, kesemua pekerja kilang terbabit mengadakan demonstrasi aman selepas selesai menamatkan syif kerja masing pada waktu pagi dan petang.

S Govindasamy

Menurutnya, tindakan itu dibuat pihaknya susulan pihak majikan gagal mematuhi janji pemberian bonus tahunan mengikut kaedah lama sebagaimana dipersetujui dengan wakil kesatuan pekerja sebelum ini.

“Sebelum ini, mereka memberi jaminan kepada wakil kesatuan pekerja akan mengekalkan kaedah pembayaran insentif bonus mengikut kaedah lama.

“Namun, pada Jumaat lalu, wakil pengurusan syarikat mungkir janji dengan memperkenalkan kaedah pembayaran insentif bonus mengikut kaedah baharu melalui memo syarikat yang dilihat merugikan pekerja.

Govindasamy (tengah) bersama sebahagian pekerja kilang tayar berkenaan menunjukkan surat memorandum tuntutan kesatuan pekerja kepada majikan.
Govindasamy (tengah) bersama sebahagian pekerja kilang tayar berkenaan menunjukkan surat memorandum tuntutan kesatuan pekerja kepada majikan.

“Justeru, pihak kami tidak berpuas hati dan memandangkan pihak majikan enggan bertemu dengan kami bagi menjalankan rundingan semula, tindakan demonstrasi aman ini terpaksa dibuat demi kepentingan kebajikan pekerja,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu mengetuai demonstrasi aman pekerja kilang berkenaan.

Govindasamy berkata, pihaknya bersama semua pekerja terlibat sudah memulakan demonstrasi aman sejak semalam dan bersedia meneruskannya sehingga pihak majikan bersedia kembali untuk menjalankan rundingan semula dengan wakil kesatuan.

Menurutnya, kes ini juga sudah mendapat perhatian Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan agensi kerajaan itu juga bersedia bertindak sebagai orang tengah bagi mengadakan rundingan antara majikan dan pekerja kilang berkenaan.

“Kami berharap pihak majikan dapat mengembalikan semula kaedah pembayaran insentif bonus kepada kaedah lama memandangkan sekiranya kaedah baharu diguna pakai, lebih separuh pekerja syarikat tidak dapat menikmatinya.

“Sekiranya pihak majikan masih enggan berunding semula dan bertolak ansur dengan kami dalam masa terdekat, kita akan mengambil tindakan mahkamah ke atas mereka kerana mengabaikan kebajikan pekerja,” katanya – sinar harian