KUALA KURAU – Lebih 500 pesawah di seluruh Kerian mengadakan demonstrasi aman membantah kadar pemutuan padi terlalu tinggi sehingga menjejaskan hasil pendapatan mereka di Taman Kurau Aman, di sini petang Jumaat.

Wakil petani, Samsudin Sulaiman yang juga merupakan Ketua Unit Tanah Baru, Bagan Tiang berkata, kadar pemutuan padi sekitar 26 hingga 30 peratus adalah yang tertinggi dan pertama kali berlaku di Kerian.

Menurutnya, sebelum ini kadar pemutuan hanya pada sekitar 21 hingga 23 peratus yang dikenakan BERNAS bagi hasil padi berkualiti.

Samsudin berkata, pihaknya turut dimaklumkan terdapat sebahagian besar pesawah menerima nasib lebih malang apabila kadar pemutuan padi dikenakan pengilang sekitar daerah Kerian ada sampai mencecah 70 peratus.

“Kesan peningkatan mendadak kadar pemutuan padi terlalu tinggi, bukan sahaja menyebabkan hasil pendapatan merosot teruk, malah mengundang kebimbangan kadar itu akan terus meningkat jika tidak diberi perhatian segera oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

“Pada musim menuai padi tahun ini, saya yang mengusahakan sawah padi seluas 3.6 hektar turut mengalami kadar pemutuan padi tidak masuk akal sehingga 47 peratus dan mengalami penyusutan hasil padi hampir RM1,000.

“Sekiranya permasalahan tidak dapat diselesaikan, berkemungkinan besar semua petani mengambil langkah menjadikan kawasan sawah padi mereka sebagai tanaman kelapa sawit,” katanya kepada media selepas mengetuai lebih 500 petani di daerah Kerian mengadakan demonstrasi aman membantah kadar pemutuan padi terlalu tinggi pada musim penanaman kali ini hari ini.

Samsudin berkata, pihaknya bersama seluruh petani di daerah Kerian mendesak pihak kerajaan pertimbangkan semula kadar pemotongan padi dikenakan di samping mengkaji semula kaedah pemutuan padi ditetapkan Bernas.

“Kaedah pemutuan sedia ada menimbulkan keraguan dalam kalangan petani kerana ¬†tidak konsisten setiap musim meskipun hasil padi dituai kualiti lebih kurang sama.

“Selain itu, petani turut berharap kerajaan Pusat dapat mempertimbangkan pemberian kos sara hidup bulanan seperti mana diterima golongan nelayan bagi memastikan nasib petani dibela,” katanya.

Samsudin berkata, pihaknya turut merancang mewujudkan satu persatuan khas bagi membela nasib petani setelah mendapati pertubuhan sedia ada kurang memberi impak dalam membantu mereka.

“Melalui usaha mengumpulkan memorandum tandatangan lebih 500 petani dari seluruh Kerian hari ini (semalam), saya dapat melihat solidariti dalam kalangan petani mampu dipupuk melalui kewujudan satu persatuan khas.

“Persatuan ini akan berfungsi menyalurkan setiap permasalahan petani terus kepada Bernas dan pihak kementerian bagi memastikan ianya dapat diselesaikan segera,” katanya.