IPOH: Seramai 5,000 peserta dijangka memeriahkan Karnival Street Dakwah Masjid Sultan Azlan Shah, di sini yang bakal berlangsung tiga hari di dataran masjid itu bermula 3 – 5 Mac ini.

Karnival yang julung kali dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Masjid Sultan Azlan Shah itu akan diberikan pelbagai pengisian menarik, mencakupi keperluan semua lapisan umur.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, pendekatan program berbentuk karnival itu antara lain untuk mempelbagaikan program pengimarahan masjid serta menyampaikan mesej secara santai.

“Fungsi masjid tidak terhad kepada tempat beribadah sahaja, malah ia lebih daripada itu memandangkan banyak aktiviti yang boleh kita anjurkan untuk sampaikan dakwah selain menjalankan karnival bersama masyarakat setempat,” katanya semasa sesi sidang media di sini pada Rabu.

Jelasnya, karnival itu turut melibatkan pelbagai program dan penceramah terkenal tanah air untuk berkongsi pengalaman dan menyampaikan ilmu dalam beberapa slot yang disediakan.

“Dianggarkan lebih 70 gerai jualan akan disediakan untuk orang ramai, termasuk makanan dan minuman. Selain itu ada juga derma darah dan Darussyifa’, oleh itu orang ramai dijemput untuk sama-sama memeriahkan karnival ini,” ujarnya.

Antara intipati program tersebut ialah forum santai bersama selebriti, haflah al-Quran, forum Subuh, kuliah Dhuha dan street dakwah.

Terdapat juga konsert amal, penyampaian bantuan zakat kepada fakir miskin serta persembahan Buskers Perak dan Ipoh Yop Street Drummers.

Personaliti undangan yang terlibat seperti Datuk Ustaz Kazim Elias, Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Yusri Karim, Ijam Medicine, Zul Handy Black dan Heliza Helmi.

6d3f86ef-f1f7-41b8-9862-efeed4954451