PARIT BUNTAR: Lebih 5,000 orang mengunjungi Karnival Kerjaya & Pendidikan Belia Negara 2017 yang diadakan di Dataran Alamanda di sini pada Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, sepanjang dua hari itu, lebih 1,000 pengunjung telah ditawarkan pekerjaan manakala kira-kira 700 lagi mendapat tempat di institusi latihan dan kemahiran.

Beliau menyifatkan karnival itu berjaya mencapai sasaran walaupun baru pertama kali diadakan di Parit Buntar.

“Tahniah kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama untuk menjayakan karnival ini dan juga institusi serta syarikat yang mengambil bahagian,” katanya kepada pemberita selepaskan merasmikan penutup karnival itu pada Ahad.

Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Abu Bakar Mat Ali, ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi.

Dua selebriti, Shuib Sepahtu dan Dira Abu Zahar turut hadir memeriahkan lagi karnival.

Sempena karnival itu, turut diadakan dialog Tansformasi Nasional 2050 (TN50) yang menampil Shahrul dan Abu Bakar sebagai panel manakala Ghadafi dan Shuib sebagai moderator.

Shahrul berkata, semua aspirasi yang dicadangkan di dalam dialog itu akan dikompilasi sebagai TN50 Perak sebelum dihantar ke pusat untuk dikompilasikan sebagaiTN50 Malaysia.

Sempena karnival itu, turut diadakan penyampaian cek kepada 14 penerima faedah PERKESO yang kesemuanya berjumlah lebih RM120,000 dan 22 helmet.