IPOH: Lebih 5,000 pengunjung berbilang kaum hadir memeriahkan sambutan Hari Malaysia Peringkat negeri Perak 2017 yang berlangsung di Dataran Bandaraya Ipoh di sini, malam ini.

Sambutan dimulakan seawal jam 8 malam dengan persembahan-persembahan menarik yang menonjolkan kepelbagaian seni nyanyian dan tarian serta warna-warni budaya di negara ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Saarani dalam ucapan berkata, sambutan itu diadakan bagi mengenang dan meraikan jasa serta bakti semua pihak yang terlibat dalam penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

“Semua rakyat juga harus bersyukur kerana kita dikurniakan bumi bertuah Malaysia ini, kita berterima kasih kepada pemimpin lalu yang mengutamakan penyatuan hati sehingga terwujudnya negara ini.

“Dengan semangat yang sama, saya berharap kita semua sebagai rakyat Malaysia dan negeri ini bersatu serta kekalkan keamanan, keharmonian yang dikecap ketika ini, jangan kita nodai usaha pemimpin terdahulu,” katanya.

Sejurus ucapan perasmian, sambutan dirancakkan lagi dengan persembahan artis jemputan dan lagu medley 14 negeri yang berlangsung selama 15 minit.

Antara artis jemputan yang hadir ialah Wany Hasrita, Tajul dan Floor 88.

Pengunjung juga disajikan dengan persembahan silat kebangsaan Perak, muay thai, tarian lagenda perang dan silap mata sepanjang sambutan tersebut yang berakhir sekitar jam 11.30 malam.