IPOH – Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan program Malaysiaku Merdeka bersama Boboiboy dan pertunjukan bunga api yang diadakan di Movie Animation Park Studio, di sini, pada Jumaat.

 

Program yang bermula seawal jam 9 malam itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Gazali Jalal, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Mohd. Ariff Yeop Ishak serta barisan exco kerajaan negeri.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata semangat cintakan Negara bukan hanya dizahirkan dengan cara mengibarkan bendera.

 

“Kita perlu mempunyai rasa tanggungjawab menjaga nama baik dan imej Malaysia dengan menjauhi segala sikap negatif seperti rasuah dan dadah selain menjaga kebersihan alam sekitar termasuk tandas awam,” katanya.

 

Program yang diadakan sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-61 itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis yang hadir membuat persembahan iaitu Joe Flizzoe, Sona One, Ezad Lazim Syamel, dan Kugiran Masdo.

 

Para pengunjung juga teruja menikmati pertujukan bunga api yang berlangsung selama 10 minit yang menerangi ruang langit MAPS.

MAPS yang dibuka pada 26 Jun 2017 mempunyai lebih 40 tarikan unik dengan enam tema animasi terkemuka dunia termasuk Boboiboy serta The Smurfs dan ia dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan dilanjutkan sehingga 10 malam pada cuti hujung minggu, cuti umum serta cuti sekolah.

MAPS kini menawarkan bayaran masuk promosi dari RM30 hingga RM61 bermula 18 Ogos hingga 17 Sept ini. Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang MAPS di www.mapsperak.com.